29 November 2010

Assalamualaikumwarahmatullah.


Kejayaan. Aku panjangkan kesyukuran terhadap peluang yang telah diberi. Peluang sentiasa wujud, cuma hendak menangkapnya yang menjadi masalah.  Walau tanpa siapa disisi, disini, aku gembira. Dari pagi, dari satu ucapan teks pesanan ringkas hinggalah berlari  dalam titisan hujan, haha, terima kasih. Semuanya aku hargai.  Dari mula berbual, hinggalah tertidur, terima kasih.

Buat yang mengharap tetapi sudah tiada, aku mohon seribu keampunan, dan aku julang sijil ini untukmu.
Buat yang menghargai segalanya, aku turunkan topi tanda penghormatan.
Buat yang membantu aku kejalanMu, aku hadiahkan pelukan tanda penghargaan.
Untuk kamu yang melemparkan senyuman ikhlas, aku jabatkan tangan, genggaman salam tanda pembalasan.
Untuk semua, aku hanya mampu mengukir senyuman, sekurang-kurangnya sebagai tanda, kita saudara yang sama.

Peluang.
Perlu dicari dan diambil, bukan hanya ditunggu untuk tiba keatas riba.
Itulah kematangan yang aku cari.

21 November 2010

Assalamualaikumwarahmatullah

Aku bangun awal pagi ini.  Tetapi cukup awalkah aku untuk akhirat kelak?  Sambil mengeluh, aku pergi ke bilik air, mengenakan air wudhuk ke badan aku, sejuk, tetapi aku tidak tahu mengapa aku yakin sejuknya air pagi ini tidak mampu memadamkan gelungan rantai neraka yang membelenggu diriku.  Aku memakai kain, membentangkan sejadah dan mula bersolat...cuba untuk khusyuk, tetapi sering kali terganggu dengan lamunan dunia.  Sejauh mana pula solat-solat aku ini mampu untuk membawa aku di alam akhirat nanti?  Berapa lama aku mampu berdiri sebelum aku terjatuh, terheret di tanah akhirat...

Aku keluar rumah, melihat terangnya alam ini dilimpahi cahaya matahari, aku kira matahari masih kasihkan manusia lagi, sebelum Allah mula mengarahkan matahari membakar manusia di atas lapangan Mahsyar.   Aku lihat tanganku, telinga, mata....ahh, apa pula bakal dikatakan mereka yang akan mewakili aku kelak.  Mulut aku tidak mampu dibuka, tatkala memikirkan mulutku kelak bakal dipateri.  Bagaimana nasib aku nanti. Bagaimana..menjadi Ummat Muhammad atau menjadi ahli yang beratur bersama Syaitan, Firaun dan pengikut mereka? Ya Rabb. Ya Rahman. Ya Rahim.

19 November 2010

Illuminatus? Ah, apa itu.

Assalamualaikumwarahmatullah

Berbicara tentang hati, kadang-kala hati boleh tersilap tafsir.  Kadang-kadang didorong oleh dukungan nafsu.  Yang akhirnya membawa tertutupnya mata dan hati kita.  Aku percaya, mata dan hati kita berhubung dengan begitu sempurna, yang membolehkan kita menilai keindahan Allah swt.  Cuma proses 'penafsiran' itu akan diganggu oleh syaitan dan nafsu yang cuba menjadikan pemikiran kita, negatif.  Oh, tidak, aku tidak berbicara sebagai seorang yang kuat beragama atau ahli falsafah atau ahli psychology yang maha hebat.  Cuma, aku menulis hanyalah untuk meyampaikan buah fikiran yang kadang kala keliru. Haha, ya, aku keliru dengan pemikiran aku sendiri, kerana aku, sedang cuba berubah.  Aku percaya, Allah ada di situ, di sini, untuk aku, dan juga semua hambaNya

Kebelakangan ini, makin hebat apabila dunia kita dihidangkan dengan informasi mengenai perihal bagaimana dunia yang kita hidup ini sebenarnya penuh dengan penipuan dan hasutan.  Pasti kita pernah dengar mengenai

Illuminati.
Free Masons.
The All Seing Eye.
Subliminal.
The Artifact.
etc.

Semasa pertama kali aku menelaah perkara-perkara ini, aku begitu teruja.  Dapat mengetahui perkara-perkara itu buat aku ingin tahu dengan lebih lanjut.  Menarik, sangat menarik.  Tetapi makin lama memikirkan perkara-perkara ini, timbul pula rasa resah aku.  Aku tidak dapat menyimpulkan yang mana satu betul dan yang mana satu salah.  Fakta-fakta yang dihidangkan bolehlah aku kategorikan sebagai informasi yang berat dan sangat mengelirukan kadang-kadang.  Aku berdiskusi dengan beberapa rakan tentang perkara ini.  Majoriti bersetuju yang ramai insan, (kebanyakannya Muslim) seolah obses dengan perkara-perkara ini.  Obses ini, aku percaya menghanyutkan manusia sendiri.  Bagus untuk menerima dan menelaah informasi-informasi ini, tetapi alangkah indahnya apabila penerimaan fakta-fakta ini disusuli dengan penyesuaian cara Islam yang baik.  Ilmu dan sejarah Islam aku kira penting untuk asas kita, kemudian disusuli dengan pemahaman tentang isu-isu kabur seperti yang diatas. Aku dan rakan-rakanku percaya, jika kita sama-sama mendalami dan mengamalkan semantik dan ilmu Islam dengan baik, kita tidak akan risau atau takut dan terpedaya dengan perkara-perkara diatas.

Penulisan kali ini mesejnya tetap sama, aku cuba menyesuaikan, dan aku percaya penyesuaian itu hendaklah mengikut cara Islam.
Assalamualaikumwarahmatullah.

Allah punya cara memberi petunjuk cahaya indahnya kepada setiap individu, kadang kala dalam cara yang tidak terduga sekali. Ada yang begitu jelas, sehingga insan terduduk menyembah bumi, meratapi dosa lalu.  Ada pula yang begitu halus, cantik sekali samarannya, seolah-olah menimbulkan rasa tersentak didalam hati.  Bersaksikan seorang sahabat, seorang sahabat akhirnya menangis keranaNya, tersedu-sedu menimbang semula setiap perkara yang telah dilaksanakan dalam hidup setengah jam akhirat ini.  Alunan zikir memohon keampunan dilaungkan, pilunya hati Allah sahaja yang tahu.  Terjatuh ego manusia yang selama ini berbimbingkan pada teras keagungan dunya yang mengasyikkan. 

Kini, dua tahun sudah berlalu sejak kejadian yang aku saksikan itu.  Lama aku lupakannya, cuma baru ini aku mula mengutip semula memori-memori lama dalam almari fikiran aku ini.  Masa mengubah manusia, sebagaimana Allah mahu manusia mengubah takdir mereka. 

Aku menulis kali ini untuk sahabat-sahabat yang sangat menjadikan aku; aku. Terima kasih dan kamu tahu siapa kamu. Semoga Allah  merahmati hidup kalian.

15 November 2010

Bila difikirkan kembali, apa yang dicari kadang-kadang (selalunya) tidak dapat dimiliki.  Kenapa? Kerana Allah sedang menguji kita.  Mengapa Allah sedang menguji kita? Aku tidak mampu mengungkapkan kata erti sebenar, apa yang aku tahu, tidak kiralah apa caranya, Allah akan sentiasa menguji kita. Terpulang pada setiap individu bagaimana untuk menyesuaikan ujian itu dengan kehendak agama.   Indah nya apabila dua itu bersatu. Tapi aku baru sedar, itu semua sukar.  Setiap langkah aku ambil, membawa aku ke satu lagi ujian. Aku tidak boleh bercanda yang keras. Tidak boleh dan tidak boleh. Apa yang boleh dibuat? Teruskan baki nikmat hidup yang Allah telah beri pada aku....yang telah aku 'deal' dengan Allah semasa didalam rahim ibuku. Aku sedar segala yang telah, semasa dan bakal aku lakukan telah aku bersetuju dengan Allah sebelum ini. Keluhan rindu mungkin didengari, tapi dikabuskan oleh nafsu dan didukung syaitan. Indahnya bila semua itu dilabuhkan tirainya. Membuka sesuatu yang mententeramkan jiwa...menembusi hingga ke roh yang ditiup ke dalam jasad ini.  Rohku haus...kelaparan..walau jasad kekenyangan, roh ku terus kebuluran..

13 November 2010

Sesuatu yang sering disebutkan dalam jiwa manusia.  Yakin dalam diri semua manusia terbit rasa inginkan kebaikan yang ikhlas.  Namun kebaikan itu seolah dipagari sesuatu yang sangat utuh, seperti utuhnya dinding hitam di Tebing Barat.  Hakikat Syurga dipagari dengan ketidaksenangan dan Neraka pula dipagari dengan kesenangan seolah mewujudkan sinonim dengan kebaikan dalam hati manusia.  Nafsu manusia mudah tertarik dengan impak kesenangan yang hanya menjadi 'pagar', bukan kesenangan yang menjadi 'rumah'.  Kesenangan pagar inilah yang sangat mengasyikkan, membuai pemilik badan seperti aku.  Buaiannya selembut angin bertiup perlahan; sejuknya menghilangkan panas, tenangnya memadamkan kegusaran.  Tetapi kesannya maha dahsyat.  Sekadar cuba menjauhi tidak mencukupi.....tarikannya sangat kental, didorong pula oleh Syaitan laknatullah.  Allah, susahnya dugaanMu.  Walau tidak terperi lagi cabaran yang Kau berikan pada Rasulullah saw serta para sahabat, rasul-rasul dan para nabi sebelumnya, pada ummat sebelum ini....aku tetap jatuh, terlelap  dalam buaian kesenangan itu.  Kekuatan aku seperti sebiji biji getah yang hanya menunggu masa untuk dipecahkan oleh bata.  Hancur...dan akhirnya ditelan api yang aku sendiri nyalakan. Itukah kesudahannya...berikan aku kekuatan..dan aku amat memerlukan petunjuk dan hidayahMu.

12 November 2010

Kadang timbul dalam benak hati,
Benarkah semua ini?
Saat aku perhatikan terbitnya matahari,
Hingga terbenamnya cahaya di ufuk barat.

Indahnya Islam di mata dunia,
Di mata pemilik tubuh yang bergelar Muslim,
Indahnya Islam apabila dipakai,
Disarung abadi di dalam hati yang ikhlas.

Sukarnya hidup di akhir zaman,
Insan semua tahu tapi celiknya tiada,
Gelapnya hati kita siapa tahu,
Menunggu datangnya Mahdi, turunnya Isa.

Menunggu, bunyi maut itu.
Ya Allah, lindungilah kami.